arena

Nozomi tamat kemarau dua tahun tanpa kejuaraan

Oleh AFP

Odense, Denmark: Bekas juara dunia dari Jepun, Nozomi Okuhara memenangi kejuaraan pertama sejak November 2018 dengan kemenangan pada final Kejohanan Badminton Terbuka Denmark.

Pemain berusia 25 tahun itu menewaskan pemenang pingat emas Olimpik 2016 dan juara dunia tiga kali, Carolina Marin 21-19, 21-17.

"Berbanding pencabar lain, Carolina lebih pantas dan mempunyai corak serangan yang kuat.

"Saya memberi tumpuan kepada pertahan dan gerakan dan langkah kaki saya bertindak baik hari ini. Keseluruhannya permainan berjalan lancar." kata Nozomi yangkali terakhir memenangi kejuaraan di Hong Kong pada 2018.

Carolina pula mengakui dia terlalu banyak melakukan kesilapan.

"Saya fikir sebab utama adalah kesilapan yang saya lakukan. Saya berjaya memperoleh mata tetapi juga melakukan semua kesilapan. Perlawanan itu berpunca dari saya." kata bintang Sepanyol berusia 27 tahun itu.

Sementara itu, pada aksi final lelaki pemain Denmark, Anders Antonsen menewaskan rakan senegara, Rasmus Gemke 18-21, 21-19, 21-12.

Terbuka Denmark adalah kejohanan badminton antarabangsa utama pertama dilangsungkan dalam tempoh tujuh bulan selepas jadual sukan itu tertangguh kerana penularan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 9:04am
d