arena

Gigit pipi selepas diejek

Oleh AFP

Lille, Perancis: Pemain divisyen dua Perancis menafikan dia menggigit pipi penjaga gol lawan dan berkata dia menerima ejekan perkauman.

Pemain tengah Sochaux dari Senegal, Ousseynou Thioune, didakwa penjaga gol Valenciennes, Jerome Prior menggigit pipinya selepas keputusan seri kelmarin, dengan Prior dikatakan mengejek warna kulit pemain itu ketika perlawanan.

Thioune berkata kejadian berlaku ketika mereka berjalan keluar padang selepas perlawanan, berlaku pergaduhan apabila dia memberitahu Prior mengenai bahasa perkauman digunakannya selain mendakwa penjaga gol itu mengulangi ejekan itu.

"Pada kali kedua, saya berkata kepadanya 'mari keluar dan kita selesaikannya'. Memang benar saya menghantuk kepala ke pipi dan benar, saya memang marah, saya mahu menanduknya," kata Thioune kepada akhbar L'Est Republicain.

"Tapi apabila saya memikirkannya, saya menarik diri. Tiada gigitan," kata Thioune.

Presiden Valenciennes, Eddy Zdziech memberitahu AFP dia tidak meragui bahawa Thioune menggigit pemainnya.

"Ia sangat dikesalkan. Kita tidak boleh menafikannya. Saya sudah bercakap dengan Jerome dan nampak ada bekas gigitan besar di pipinya. Dia berdarah."

"Tindakan seperti ini adalah sangat serius dan perlu dihentikan."

Jika terdapat aduan daripada salah seorang pemain dan terbukti, kedua-duanya mungkin berdepan tindakan disiplin daripada penganjur Liga Perancis.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 9:38am
d