arena

Rublev ikut jejak Djokovic

Oleh AFP

Saint Petersburg: Andrey Rublev menyamai pencapaian Novak Djokovic menjuarai empat kejuaraan pada 2020 dengan menewaskan Borna Coric 7-6 (7/5), 6-4 untuk muncul juara Terbuka St. Petersburg sekali pun menerima berita sedih yang menimpa keluarganya 48 jam sebelum perlawanan itu.

Rublev, 22, menambah koleksi kejuaraan untuk dibawa pulang ke Russia dengan menjulang trofi di Doha, Adelaide dan Hamburg.

Hanya pemain nombor satu dunia, Djokovic mempunyai rekod hampir sama pada musim yang terganggu ini.

Bagaimanapun, Rublev mendedahkan kekecewaan pada diri sendiri.

"Pada Jumaat lalu, saya kehilangan nenek tersayang jadi ia sangat sukar," katanya.

"Namun saya gembira dengan cara saya tamatkan kejohanan dan ia adalah kejohanan yang istimewa buat saya."

Rublev melebarkan kemenangan dalam 10 perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri, selepas menjulang trofi Kremlin di Mocsow tahun lalu.

Pemain nombor 10 dunia itu turut mencerahkan peluang untuk layak ke saingan ATP Final buat pertama kali.

Dengan hanya dua tempat yang tinggal dalam pertarungan membabitkan lapan pemain lelaki bagi musim final di London, Rublev yang kini memungut 249 mata mendahului Diego Schwartzman yang turut berpeluang mengisi posisi itu.

"Saya sedar saya mempunyai peluang yang baik untuk layak, tetapi ia belum tentu 100 peratus," kata Rublev.

"Tahun ini, saya tidak menjangka bahawa saya akan memperoleh peluang ini.

"Sekalipun jika saya gagal melakukannya, musim yang sangat baik bagi saya. Jika saya berjaya melakukannya ia sememangnya satu berita baik."

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 10:05am
d