arena

Sevilla uji skuad mahal Lampard

Oleh AFP

London: Pelaburan besar perpindahan Chelsea musim ini disifatkan gagal menepati jangkaan mereka ketika skuad kendalian Frank Lampard melepaskan gol dalam kadar membimbangkan.

Skuad Blues membelanjakan £220 juta (RM1.18 bilion) bagi mendapatkan Timo Werner, Kai Havertz, Ben Chilwell, Hakim Ziyech dan Edouard Mendy, manakala penyertaan Thiago Silva dari Paris Saint-Germain adalah secara percuma.

Sebaliknya pasukan elit Eropah lain lebih berhati-hati ketika Real Madrid langsung tidak membeli pemain, Barcelona cuba membuang pemain bergaji besar dan hanya Leroy Sane menjadi pembelian besar di Bayern Munich.

Chelsea hanya menang dua daripada lima perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris dan dua kali gagal mengekalkan pendahulu jaringan berdepan Southampton kelmarin untuk perlawanan kedua yang berakhir seri 3-3 dalam kempen musim ini.

Dalam 43 saingan liga di bawah Lampard, mereka kini melepaskan 63 gol.

Sementara itu, Sevilla secara konsisten menjual bakat terbaik mereka dan kekal selaku antara pasukan terkuat Eropah.

Pasukan dari Andalusia itu memiliki rekod lebih baik dalam kejuaraan di Eropah berbanding Chelsea sejak tujuh musim lalu walaupun berbelanja kecil.

Mereka menang empat kali Liga Europa dalam tempoh berkenaan, malah pada Ogos kelab itu mengulangi kejayaan cemerlang apabila mengatasi Roma, Wolves, Manchester United dan Inter Milan untuk merangkul kejuaraan itu.

Juara Eropah, Bayern juga memerlukan tambahan masa untuk mengetepikan skuad kendalian Julen Lopetegui pada final Piala Super UEFA bulan lalu.

"Sevilla mencipta dunia kebahagiaan yang selari bagi peminat di masa-masa sukar ini," kata Pengarah Sukan kelab itu, Monchi kepada A Balon Parado minggu ini.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 12:56pm
d