arena

Van Dijk tekad kembali lebih kuat

Oleh Agensi

London: Bintang Liverpool, Virgil van Dijk tekad kembali dengan lebih baik, lebih cergas dan kuat selepas pulih pembedahan lutut nanti.

Juara Liga Perdana mengesahkan tonggak pertahanan itu mengalami kecederaan ligamen di lututnya dan dijangka terlepas baki saingan musim ini.

Pemain antarabangsa Belanda itu akan menjalani pembedahan susulan kecederaan dialami akibat diasak keras penjaga gol Everton, Jordan Pickford ketika kedua-dua pasukan seri 2-2.

Dalam Twitternya, Van Dijk berkata dia berterima kasih di atas sokongan semua pihak menjelang pembedahannya.

"Hari ini saya bertemu pakar perunding untuk memulakan perancangan pelan akhir proses pemulihan susulan insiden kelmarin,'' katanya.

"Sekarang saya fokus sepenuhnya ke atas pemulihan dan saya akan melakukan apa sahaja untuk kembali secepat mungkin.

"Walaupun kecewa, saya percaya dalam kesusahan ada peluang lain dan dengan bantuan tuhan, saya akan kembali dengan lebih baik, lebih cergas dan kuat daripada sebelum ini.

"Dalam bola sepak, saya percaya apa yang berlaku ada sebabnya dan paling penting tidak patah semangat. Dengan sokongan padu isteri, anak dan semua di Liverpool, saya sedia hadapi cabaran selepas ini.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang menghantar mesej sokongan, ia amat bermakna kepada saya dan keluarga.

''Saya akan melakukan apa sahaja menyokong rakan sepasukan menjelang minggu getir ketika saya pulih dari sehari ke sehari. Saya akan kembali.''

Skuad Jurgen Klopp menduduki tangga ketiga dalam carta liga dengan 10 mata daripada lima perlawanan.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 6:56pm
d