arena

Mueller tonggak kejayaan Bayern

Oleh AFP

Berlin: Thomas Mueller boleh meningkatkan permintaannya untuk dipanggil semula skuad Jerman ketika Bayern Munich melancarkan kempen mempertahankan Liga Juara-Juara (UCL) di gelanggang sendiri berdepan Atletico Madrid, awal pagi Khamis ini.

Berjaya merekodkan 21 bantuan gol dalam Bundesliga musim lalu, Mueller meneruskan aksi cemerlang dengan meledak lima gol dan mencipta empat bantuan jaringan setakat ini pada sesi 2020/21.

Pemain berusia 31 tahun menjaringkan dua gol ketika membantu kemenangan 4-1 ke atas Arminia Bielefeld pada Sabtu lalu, ketika Robert Lewandowski turut meledak dua lagi gol buat Bayern.

Aksi cemerlang bersama kelab memberi harapan baru untuk dipanggil menyertai skuad Jerman selepas diketepikan disamping Jerome Boateng dan Mats Hummels oleh Joachim Loew kerana gagal menyerlah pada 2019.

Kini Bastian Schweinsteiger menyertai bekas pemain Bayern dan Jerman, Didi Hamann dan Lothar Matthaeus untuk menyeru pengendali Jerman menyenaraikan semula Mueller dalam skuad kebangsaan negaranya.

"Jika saya jurulatih kebangsaan, Mueller begitu juga Boateng akan berada dalam senarai skuad kebangsaan," kata Schweinsteiger, 36, kepada majalah Jerman, Kicker.

Schweinsteiger membantu negaranya memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil bersama-sama Mueller, yang diketahui masih banyak boleh diberikan kepada Jerman selepas 100 penampilan antarabangsa dan 38 gol buat skuad itu.

"Semua orang dapat melihat saya berada dalam prestasi terbaik. Mari kita lihat apa yang berlaku," kata Mueller kepada stesen penyiaran ZDF.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 10:51am
d