arena

JDT 'pantas' lanjut kontrak pemain

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) mungkin menjadi pasukan pertama yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) melanjutkan kontrak lebih awal membabitkan beberapa pemain bagi mengharungi kempen musim depan.

Pengumuman lanjutan kontrak itu dibuat menerusi laman rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers apabila memuatnaik status yang menyaksikan kehadiran pemain paling lama dalam skuad Harimau Selatan iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak yang disaksikan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim .

Turut berada di ibu pejabat kelab berkenaan di Iskandar Puteri untuk urusan pelanjutan kontrak adalah Farizal Marlias, Gary Steven Robbat, Ahmad Hazwan Bakri, Nazmi Faiz Mansor dan Ahkyar Rashid yang kekal bersama juara Liga Super tujuh musim berturut-turut.

Pemain meningkat naik Ramadhan Saifullah yang digilap dari skuad Johor Darul Ta'zim II (JDT II) turut dilanjutkan kontrak bersama barisan pemain JDT iaitu Muhammad Aiman Danish Azli Abdul Azim dan Muhamad Feroz Baharudin.

Ternyata sepanjang kempen liga yang menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan, barisan pemain yang sedia ada memberi sumbangan penting bagi merealisasikan impian untuk muncul juara sekali gus boleh dianggap `Maharaja Liga Super'.

Kejayaan memenangi kejuaraan liga tujuh musim berturut-turut sukar untuk mana-mana pasukan mampu memecah rekod pasukan yang hanya melakukan transformasi pada musim 2013 sebelum mengecapi kejayaan bermula semusim kemudian dan kekal sehingga musim ini.

Aksi seterusnya skuad bimbingan Benjamin Mora bakal mengharungi kempen Piala Malaysia dan saingan Liga Juara-Juara Asia bagi Zon Timur di Qatar selepas Konfederasi Bola sepak Asia menetapkan saingan itu disambung bermula dari 18 November hingga 13 Disember ini.

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 6:35pm
d