arena

Coco bergelut atasi lawan di Terbuka Ostrava

Oleh AFP

Prague: Sensasi remaja Amerika Syarikat, Coco Gauff menewaskan pakar beregu dari Republik Czech, Katerina Siniakova dengan straight set untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Ostrava WTA, awal pagi ini.

Pemain berusia 16 tahun dan berada di ranking ke-55 dunia itu berjaya mengatasi lawan berpengalaman 7-5, 6-4.

"Hari ini cukup sukar, saya tidak beraksi pada tahap terbaik permainan saya," kata Coco kepada Czech Television dalam arena yang kosong kerana langkah ketat diambil bagi mengelak penularan Covid-19.

"Saya mengharungi lawan sukar," tambah Coco yang menewaskan pemain Slovakia, Jana Cepelova dan Irina-Camelia Begu dari Romania ada aksi kelayakan.

Coco akan berdepan pilihan ketiga Aryna Sabalenka dari Belarus yang juga pemain nombor 12 dunia pada pusingan kedua.

Daria Kasatkina dari Russia pula menewaskan pemain pilihan keenam Elena Rybakina dari Kazakhstan 6-2, 3-6, 6-3, sementara rakan senegaranya, Veronika Kudermetova mengejutkan pemain Croatia, Donna Vekic 6-2, 6-4.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 11:54am
d