arena

Man United rugi RM125j

Oleh AFP

London: Manchester United merekodkan kerugian £23 juta (RM125 juta) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun selepas pendapatan menurun berikutan pandemik Covid-19 dan kurang penampilan di Liga Juara-Juara.

Pendapatan kelab merosot sebanyak £118 juta (RM643 juta) sehingga £509 juta (RM2.7 bilion) pada musim 2019/20 yang terhenti selama tiga bulan dan kemudian bersambung tanpa kehadiran penonton.

Pendapatan hari perlawanan menurun sebanyak £21 juta (RM114 juta) dan ia dijangka terus menurun pada tahun depan berikutan penonton tidak dibenarkan memasuki stadium.

"Keutamaan kami adalah untuk memastikan penyokong kembali ke stadium dengan selamat dan secepat mungkin," kata naib pengerusi eksekutif United, Ed Woodward.

Jelasnya lagi, walaupun menyedari kesihatan awam perlu menjadi keutamaan, namun setiap keputusan harus mempunyai pendekatan yang konsisten.

"Jika orang ramai dibenarkan duduk di dalam kapal terbang selama berjam-jam atau di panggung wayang, mungkin juga menyaksikan bola sepak di panggung wayang, kenapa mereka tidak dibenarkan memasuki stadium yang boleh dikawal?

"Jika konsert dalam dewan dibenarkan, mengapa penyokong bola sepak menerima layanan berbeza? Keputusan yang tidak konsisten mengecewakan penyokong dan kelab," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 11:01pm
    d