arena

City bangkit benam Porto

Oleh Agensi

Manchester: Manchester City mencipta kemenangan permulaan dalam misi kesepuluh mereka untuk memenangi Liga Juara-Juara selepas bangkit menewaskan Porto 3-1 di Etihad dalam aksi pembukaan Kumpulan C, awal pagi tadi.

Juara Portugal itu terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila mendahului di awal permainan tetapi Sergio Aguero menyamakan kedudukan pada babak pertama dan dua jaringan babak kedua menerusi Ilkay Gundogan dan pemain gantian Ferran Torres mengesahkan kemenangan City.

Ia bukanlah prestasi terbaik skuad Pep Guardiola yang tampak longgar dalam penguasaan bola terutama pada awal permainan. Malah City gagal membuat percubaan ke arah gawang lawan dan ketinggalan pada minit ke-14 selepas hantaran lemah Ruben Dias dipintas Matheus Uribe yang melancarkan serangan balas.

Uribe bijak melorongkan bola kepada penyerang Colombia, Luis Diaz yang pantas menyelinap masuk ke kawasan penalti tanpa dicabar dan meledak rembatan rendah menewaskan Ederson.

City tidak lama menunggu untuk menyamakan kedudukan apabila Aguero menyempurnakan penalti untuk jaringan ke-40nya dalam kempen Liga Juara-Juara selepas Pepe mengasari Raheem Sterling.

Bersambung babak kedua, anak buah Guardiola terus mengasak dengan Gundogan mempamerkan keistimewaan menerusi sepakan percuma menarik untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Torres yang masuk menggantikan Aguero mengesahkan kemenangan City menerusi rembatan lencung seleaps mendapat hantaran Phil Foden.

Walaupun gembira dengan kemenangan itu, kecederaan dialami Fernandinho pada lewat permainan jelas merisaukan Guardiola.

"Ia permulaan yang baik. Kami tahu apabila beraksi di tempat sendiri kami perlu menang dalam kejohanan ini.

"Kecederaan Fernandinho adalah berita buruk. Dia mempunyai masalah otot, jadi tanpanya, masalah besar buat kami. Dalam tempoh ini, kami perlukan semua orang. Tapi dalam kalendar padat ini, ia terjadi,'' katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 8:02am
d