arena

Lukaku penyelamat Inter

Oleh Agensi

Milan: Romelu Lukaku menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit ke-90 ketika Inter Milan seri 2-2 menentang Borussia Monchengladbach dalam aksi pembukaan Kumpulan B Liga Juara-Juara.

Selepas buntu tanpa sebarang gol pada babak pertama, penyerang Belgium, Lukaku meletakkan Inter didepan menerusi tolakan jarak dekat untuk gol kelapannya dalam lapan perlawanan untuk kelab dan negaranya.

Tetapi pemain Monchengladbach, Ramy Bensebaini menyamakan kedudukan menerusi penalti selepas Arturo Vidal mengasari Marcus Thuram dalam kotak penalti.

Percubaan pemain gantin Inter, Lautaro Martinez terkena palang sebelum Jonas Hofmann meletakkan skuad Jerman itu depan hasil larian cantik yang kemudiannya tenang menolak bola menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Lukaku muncul penyelamat selepas bola sepakan sudut singgah di kepala Alessandro Bastoni terlebih dahulu sebelum terkena lutut Lukaku untuk jaringan penyamaan Inter.

Dalam perlawanan lain, pencabar Liverpool dalam Kumpulan D, Atalanta membelasah Midtjylland 4-0 di Denmark.

Dalam Kumpulan C, Olympiakos bermula langkah kanan dengan menang tipis 1-0 ke atas Marseille di Greece selepas pemain gantian Ahmed Hassan meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan.

Dalam perlawanan awal Kumpulan A, Lokomotiv Moscow seri 2-2 menentang RB Salzburg.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 9:15am
d