arena

Khabib lawan beruang tapi takut ular

Oleh Agensi

Abu Dhabi: Khabib Nurmagomedov mendedahkan dia takut kepada ular selepas disakat oleh rakan sepasukannya di sebalik mampu bertarung dengan beruang dan singa.

Juara lightweight yang tidak pernah tewas itu akan mempertahankan kejuaraannya bertemu juara interim, Justin Gaethje pada aksi Sabtu ini.

Ketika melakukan persiapan untuk perlawanan UFC 254 itu, rakan sepasukan Khabib sempat bergurau dengan bintang Russia itu.

Ketika petarung berusia 32 tahun itu menjalani latihan, seekor ular hidup dibawa oleh dua lelaki yang dilihat memakai pakaian seragam.

Khabib kemudian dilihat melarikan diri dengan rakan yang lain turut mengikutinya dan ada juga yang berdepan ular berkenaan.

Atlet tempur dan skuadnya diletakkan dalam satu pusat latihan di Abu Dhabi ketika mereka disakat oleh reptilia itu.

Namun Nurgamodemov menjelaskan, usaha menyakat itu sebenarnya bukan ditujukan kepada dirinya.

"Saya tidak menyukai ular. Saya suka beruang, helang dan singa. Tetapi mereka tidak membawa ular ini untuk memberi tekanan kepada saya," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 10:52pm
d