arena

Lima skuad pilihan juarai Piala Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya memilih lima pasukan yang berpeluang cerah menjulang Piala Malaysia bermula bulan depan.

Pasukan berkenaan adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Terengganu FC (TFC) dan Selangor sebagai empat pasukan pilihan daripada Liga Super manakala Pulau Pinang antara 'underdog' yang boleh mencipta kejutan.

''Tidak mustahil dalam saingan seperti ini kita akan menyaksikan kejutan kerana sejarah membuktikan pasukan yang tidak diberi keutamaan secara tiba-tiba mampu menonjol.

''Bagaimanapun melihatkan prestasi mutakhir ini, saya masih cenderung nampak JDT, Kedah, TFC dan Selangor antara pasukan yang akan muncul juara biarpun format sebegini agak terbuka kepada sesiapa.

''Selangor dalam dua perlawanan terakhir ini menampakkan kebangkitan yang hebat apabila meraih kemenangan selesa dan saya nampak mereka mampu teruskan momentum itu di Piala Malaysia.

''Pulau Pinang pula berbekalkan selaku juara Liga Perdana saya nampak tidak boleh diambil mudah kerana dibarisi import berkualiti dan kepakaran (jurulatih) Manzoor, saya nampak Piala Malaysia ini boleh menjadi batu loncatan kepada Pulau Pinang untuk terus raih perhatian peminat,''katanya.

Jelasnya, saingan Piala Malaysia musim ini dilihat lebih sukar untuk diramal dan mencabar terutama kepada pasukan pilihan.

Menurutnya, format kalah mati selain tiada aksi timbal balik menjanjikan tiada ruang buat mana-mana pasukan melakukan kesilapan atau peluang kedua sekiranya mereka tewas dalam sesuatu perlawanan.

Selain itu, setiap ketua jurulatih dituntut untuk menggunakan semua pemain terbaik yang dimiliki tanpa memikirkan soal risiko penggantungan atau kecederaan bagi memastikan pasukan mampu mara sejauh mungkin.

''Format ini mungkin menggusarkan pasukan dan pemain kerana sudah biasa melalui saingan peringkat kumpulan di mana mereka masih boleh mencatur peluang jika seri atau kalah tetapi tidak pada saingan kali ini.

''Jadi, situasi pada saingan Piala Malaysia kali ini nyata berbeza kerana pemain dituntut berikan lebih 100 peratus kerana hanya kemenangan dalam tiap perlawanan sahaja mampu membawa mereka ke peringkat seterusnya,' 'katanya.

Format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati bermula pusingan pertama membabitkan 16 pasukan (11 Liga Super, 5 Liga Perdana) sehingga ke perlawanan akhir tanpa aksi timbal balik.

Situasi ini berikutan penularan Covid-19 yang memaksa Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan selama lima bulan selain bagi memastikan saingan musim ini mampu dihabiskan menjelang 2021.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 6:07pm
d