arena

KOM yakin anjur dua kejohanan tahun ini

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) optimis penganjuran dua kejohanan dirancang tahun ini akan dapat diteruskan walaupun pandemik Covid-19 sedang 'mengganas' ketika ini.

Dua kejohanan berkenaan iaitu kejohanan dalaman 'National Under Distance Trials' yang dijadualkan pada 7 November dan Terbuka Malaysia (11 hingga 13 Disember) di Bukit Jalil.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata penganjuran dua kejohanan itu penting buat atlet negara bersedia untuk musim 2021 selepas lebih lapan bulan tanpa sebarang kejohanan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak Mac lepas.

'Buat masa ini, kita 70 peratus yakin untuk meneruskan kejohanan 'National Under Distance' bulan depan. Jika tiada apa-apa masalah berkenaan Covid-19, kita akan teruskan penganjuran, kalau tidak kita akan membuat perancangan lain.

''Ini juga merupakan platform untuk mencari atlet ke Sukan Sea Vietnam 2021, kerana kita bercadang untuk menghantar lebih ramai atlet muda ke temasya berkenaan,'' katanya.

Katanya, KOM juga perlu memastikan atlet trek dan padang negara berada pada prestasi terbaik untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo dengan tempoh kelayakan temasya sukan terbesar dunia itu akan bersambung mulai 1 Disember hingga 29 Jun 2021 selepas tertangguh sejak 6 April.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 7:58pm
    d