arena

Miller sangat memahami - Khairul

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) pecut, Khairul Hafiz Jantan berasa lega kerana berada di bawah seorang jurulatih yang sangat memahami walaupun ia kali pertama berlatih di bawah bimbingan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller.

Menurutnya, walaupun tidak ada bezanya dengan jurulatih Mohd Poad Mohd Kassim paling penting baginya adalah mengikut segala perancangan yang diterapkan oleh Miller selepas dia bersama pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019, Haiqal Hanafi dipindahkan untuk berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil sejak Julai lalu.

"Memang saya hanya ikutkan saja segala arahan di dalam latihan dan Alhamdulillah beliau (Miller) juga sangat memahami tidak terlalu menekan walaupun saya memberitahu ada mengalami kecederaan. "Sebagai jurulatih coraknya sama saja dengan jurualtih Poad, tapi apa yang saya senang bekerjasama bersama Miller adalah beliau juga sangat mengambil berat.

"Salah satu perbezaan mungkin dari segi teknik larian, beliau ada caranya yang tersendiri, ada juga perkara baru yang saya pelajari. Lagi pun saya baru hendak mengejar semula prestasi saya selepas dibelenggu kecederaan sebelum ini," katanya.

Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Beliau juga meraih anugerah 'Anugerah Jurulatih Terbaik Nike' dari badan induk atlet olahraga Amerika Syarikat, Trek dan Padang (USATF) pada 2008.

Ditanya mengenai tiada kejohanan antarabangsa, pelari yang terkenal dengan gelaran 'The Flying Youth' itu mengakui jika dilihat dari sudut positif ia masa terbaiknya untuk mengejar kembali dan melengkapkan segala kekurangan selepas dihimpit masalah kecederaan hamstring dan tendon buku lali.

"Saya akan gunakan peluang berlatih dan melakukan persiapan ini sebaik mungkin ketika tiada kejohanan antarabangsa," katanya.

Tahun lalu dia berjaya membantu kuartet 4x100m negara bersama Haiqal, Nixson Kennedy dan Russel Alexander Nasir Taib meraih perak di Sukan Sea Filipina.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 9:47pm
d