arena

Pemilik baharu The Fighters masih misteri

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menyemak dokumen kewangan dikemukakan The Fighters Sdn Bhd dan sebarang keputusan hanya akan diketahui minggu depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang mengakui Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM dan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM masih meneliti dokumen yang diterima pada minggu lalu.

"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kita tidak dapat mengadakan mesyuarat dengan unit hari ini bagi membincangkan perkara itu dan ditunda pada awal minggu depan," katanya.

Ini bermakna penantian untuk mengetahui siapakah pemilik baharu The Fighters Sdn Bhd juga masih belum terjawab dan masih tinggal misteri.

Menerusi laporan Arena Metro hari ini, difahamkan kemungkinan Tanah Melayu Capital Berhad (TMCB) adalah pemilik baharu The Fighters Sdn Bhd yang bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan nama Felda United ketika ini.

Menurut sumber, kehadiran TMCB bersama pasukan Felda United bukanlah sesuatu yang asing kerana syarikat itu sememangnya penaja utama kepada skuad The Fighters musim ini.

Katanya, sebarang pengumuman akan dilakukan selepas mendapat kelulusan daripada FAM berhubung dokumen penswastaan yang sudah diserahkan pada Khamis lalu.

Sebelum ini, FAM meminta supaya The Fighters Sdn Bhd menyerahkan dokumen bagi proses penelitian lanjut mengenai kedudukan semasa dan kewangan bagi tujuan penswastaan selepas dokumen yang diserahkan tidak lengkap serta memerlukan penjelasan lanjut.

Terdahulu, Felda United membuat kejutan apabila mengambil keputusan menarik diri daripada kancah bola sepak tempatan bermula tahun depan sekali gus mengejutkan peminat sukan nombor satu tanah air itu.

Perkara terbabit diumumkan Felda menerusi kenyataan media yang turut memaklumkan bahawa pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) dan anak syarikatnya, The Fighters Sdn Bhd bermula 1 September lalu seperti dipersetujui menerusi Mesyuarat Lembaga Felda.

Menerusi kenyataan itu, Felda juga memaklumkan bahawa penglibatan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 11:28pm
d