arena

Heung-Min ditawar gaji RM1.08j seminggu

Oleh Agensi

London: Tottenham menawarkan Son Heung-Min kontrak lumayan secara keseluruhan bernilai £60 juta (RM325.4 juta), menurut laporan Football Insider.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu sedang bekerja keras untuk memastikan penyerang antarabangsa Korea Selatan berkenaan melanjutkan kontraknya selepas jendela perpindahan domestik sudah pun berakhir.

Sumber Spurs memberitahu Football Insider bahawa Son ditawarkan kontrak dengan gaji £200,000 seminggu (RM1.08 juta) selain tambahan bonus prestasi.

Ia sekali gus bakal menyaksikannya muncul pemain menerima gaji tertinggi di kelab itu bersama-sama seorang lagi peledak gol, Harry Kane.

Kontrak lanjutan lima tahun bernilai £52 juta (RM282 juta) itu juga hampir sekali ganda gaji semasa Son yang menyaksikannya berakhir pada 2023.

Perbincangan antara Son dan pengurusan Tottenham sedang berjalan dan keputusan akhir dijangka bakal diketahui pada hujung tahun ini.

Daniel Levy dan ahli lembaga Tottenham mahu mengelak situasi yang menyaksikan barisan pemain bintang meninggalkan kelab itu seperti dilakukan oleh Christian Eriksen musim lalu.

Reputasi Son semakin meningkat di Liga Perdana selepas mempamer aksi cemerlang pada awal musim ini.

Dia yang melakukan 89 penampilan bersama skuad kebangsaan Korea, sudah pun menjaringkan sembilan gol daripada lapan perlawanan dengan yang terbaharu ketika membantu kelabnya melakar kemenangan 3-0 ke atas LASK di saingan Liga Europa.

Sejak menyertai Spurs dari Bayer Leverkusen pada 2015, Son sudah beraksi sebanyak 237 kali untuk Tottenham dan menjaringkan 94 gol serta menjadi perancang kepada 51 gol.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 10:45am
d