arena

Sentuhan magis Poad terus ditagih

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Biarpun kini berlatih sepenuhnya di bawah bimbingan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller, dua pelumba pecut negara Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi tidak pernah melupakan bekas jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim.

Kata Poad, seminggu sekali kedua-dua mereka pasti akan berhubung untuk bertanya khabar dan beliau yakin baik Khairul Hafiz atau Haiqal pasti sudah dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan Miller.

KOM sebelum ini memutuskan untuk memindahkan pusat latihan Khairul Hafiz dan Haiqal yang juga pemenang emas Sukan SEA 2019 di Filipina ke Bukit Jalil untuk menjalani latihan di bawah bimbingan Miller sejak Julai lalu.

Ia juga sebagai salah satu usaha KOM bagi menguatkan kuartet 4x100m negara. Kedua-dua atlet itu sebelum ini berpangkalan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Johor dan berada di bawah bimbingan Poad.

"Tiada apa yang berubah biarpun tanpa mereka bersama. Latihan tetap diteruskan seperti biasa. InsyaAllah dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, pengganti kepada Khairul dan Haiqal akan dapat ditemui.

"Tapi sekarang ini tiada kejohanan jadi susah sikit untuk melihat keupayaan atlet. Motivasi atlet juga kurang sedikit. Saya tahu ada atlet yang 'down' tapi nanti semua akan kembali normal," katanya.

Ditanya siapakah dilihat mempunyai potensi untuk menjadi pelari pecut terbaik negara, Poad melihat beberapa atletnya iaitu Muhammad Arsyad Md Saat, Ahmad Azizi Rozaini dan Nabil Alwani Rizal Alwani mempunyai kelebihan untuk menjadi raja pecut Asia Tenggara yang seterusnya.

"Ketika ini di bawah bimbingan saya ada lebih daripada 20 atlet pecut. Tapi saya lihat ketiga-tiga ini memiliki kelebihan dari segi fizikal dan lain-lain.

"Macam Arsyad mempunyai catatan 10.7s (saat), Azizi (10.8) dan Nabil (10.8). Tiga ini saya nampak boleh pergi jauh.

"Mereka ini pulang berumur 18 dan 17 tahun. Yang lain itu masih lagi muda. InsyaAllah kalau diberi pendedahan yang cukup mereka mampu pergi jauh," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 8:51pm
d