arena

Achraf Hakimi sedia kembali beraksi

Oleh AFP

Milan: Pertahanan Inter Milan, Achraf Hakimi berkata, dia bersedia untuk kembali beraksi selepas dua kali ujian Covid-19 yang dilakukannya negatif.

"Saya kembali," kata Hakimi dalam media sosial, Twitter.

Pemain antarabangsa Maghribi itu terlepas aksi Liga Juara-Juara yang menyaksikan Inter seri 2-2 berdepan Borussia Moenchengladbach pertengahan minggu ini akibat diuji positif beberapa jam sebelum sepak mula.

Pemain berusia 21 tahun itu yang tidak menunjukkan sebarang simptom, mendapat keputusan negatif pertama semalam dan selepas itu melakukan ujian kedua, jelas Inter Milan.

Pasukan bimbingan Antonio Conte itu berharap dia dibenarkan untuk menyertai rakan sepasukan pada aksi Serie A menentang Genoa tengah malam ini.

Inter Milan berada di tangga keenam liga, lima mata di belakang pendahulu, AC Milan, yang mencatat kemenangan dalam aksi seteru tetangga 2-1 hujung minggu lalu.

Hakimi menyertai Inter dari Real Madrid selepas tamat musim lalu apabila dua musim memberikan aksi terbaik ketika dipinjamkan kepada Borussia Dortmund.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 9:13pm
d