Badminton

Pelapis, berpengalaman badminton sandaran di Bangkok

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Gandingan pemain pelapis dan berpengalaman akan menjadi pertaruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam dua saingan bertaraf Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 1000 di Bangkok, Thailand pada Januari depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, dua kejohanan terbabit begitu penting bagi mengembalikan kemampuan dan keupayaan pemain selepas lebih sembilan bulan berehat tanpa aksi kompetitif.

Malah, dia akan menyenaraikan muka baharu bagi menggalas cabaran negara pada kejohanan terbabit untuk digilap di pentas antarabangsa.

"Kami akan cuba menyenaraikan pemain pelapis selain individu yang sudah lama tidak bermain di pentas antarabangsa.

"Pada masa ini, kami tidak meletakkan sasaran pada kejohanan terbabit namun ia boleh dikatakan sebagai kayu pengukur kepada kemampuan pemain.

"Saya percaya mereka boleh beraksi dengan baik walaupun sudah berehat panjang daripada sebarang aksi kompetitif malah kemampuan pemain pelapis juga sudah semakin meningkat," katanya.

Sebelum itu, BAM mengesahkan akan menyertai dua saingan bertaraf Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 1000 di Bangkok, Thailand pada tahun depan.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan, badan induk itu bersetuju menghantar pemain negara ke dua kejohanan berkenaan bagi memantapkan persediaan mereka bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada Julai 2021.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 6:21pm
d