Badminton

Misbun puas hati prestasi pemain remaja

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek amat berpuas hati terhadap prestasi pemain yang beraksi di Playoff 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang berakhir semalam.

"Melihat daripada keseluruhan playoff kali ini, ada yang saya lihat mereka menyerlah daripada aspek keluar daripada zon selesa kerana mereka sebelum ini tidak pernah bertanding dengan pemain daripada kumpulan yang lebih tinggi selain banyak bermain secara selamat.

"Ada yang saya lihat ketika cabaran pada Oktober lalu mereka kalah, kali ini dia bangun dengan permainan yang lebih baik. Secara keseluruhan, prestasi permainan yang semakin panjang dengan stamina mereka semakin meningkat," kata Misbun.

Tambahnya lagi, dengan keadaan semasa di mana pemain pemain remaja ini 'berkampung' di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak Julai lalu susulan penularan wabak Covid 19 tampak memberi impak yang positif.

"Modul dan sistem latihan yang disusun bersama barisan kejurulatihan memberi maklum balas positif.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, soal menang dan kalah bukan perkara utama, saya dan barisan kejurulatihan mahu melihat peningkatan prestasi serta belajar untuk memiliki karisma sebagai pemain yang berkualiti," katanya.

Playoff 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara bermula 4 hingga 6 November secara tertutup.

24 pemain terbabit dalam playoff ini bagi menentukan ranking mereka dalam pasukan remaja kebangsaan.

Ini adalah pertandingan kedua dalaman anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas saingan peringkat kumpulan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober lalu.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 8:16pm
d