Badminton

Dropshot: Tolonglah beri kelonggaran

Oleh Bersama Datuk Seri Jalani Sidek

Tahun 2021 bakal menjengah tidak lama lagi dan nampaknya industri sukan tidak mempunyai banyak perubahan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, Mac lalu.

Berbanding industri lain yang mempunyai kelonggaran dalam sektor masing-masing, atlet negara masih kekal sama, iaitu mengulangi rutin menjalani latihan setiap hari tanpa mengetahui hala tuju mereka di masa depan.

Ia selepas kerajaan tidak membenarkan sebarang penganjuran acara sukan tempatan apatah lagi saingan bertaraf antarabangsa yang memerlukan pintu sempadan di buka kepada atlet asing.

Begitu juga atlet negara yang tidak dibenarkan untuk ke luar negara bagi menyertai kejohanan antarabangsa.

Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang? Adakah atlet negara perlu menunggu dan terus menunggu sehingga kes Covid-19 reda barulah mereka diberi lampu hijau kembali beraksi menyertai pertandingan?

Saya fikir pihak yang terbabit perlu memikirkan perkara ini secara serius. Sudah tiba masanya kejohanan tempatan dibenarkan dianjurkan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Saya bukan menyentuh mengenai badminton sahaja, tetapi sebaliknya semua acara sukan. Mohon dibenarkan penganjuran sukan tempatan.

Jika isunya adalah untuk mengekang pandemik Covid-19, saya fikir kita perlu terima kenyataan bahawa wabak itu sememangnya sudah berada di kalangan kita semua.

Ketika ini saya lebih bimbangkan semangat setiap atlet akan menurun dan prestasi mereka terus menjunam teruk tanpa adanya penganjuran kejohanan. Fikirkanlah. Jumpa lagi.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 8:27pm
d