Badminton

BAM tunggu pengesahan BWF

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar senarai awal 24 pemain yang akan bertanding dalam dua kejohanan Jelajah Asia di Bangkok, Januari depan.

Menurut Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann, persatuan itu masih menunggu pengesahan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenai pemain negara yang layak beraksi di Terbuka Thailand Yonex dari 12 hingga 17 Januari serta Terbuka Thailand Toyota dari 19 hingga 24 Januari.

Kedua-dua kejohanan tersebut masing-masing menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1 juta (RM4.062 juta).

"Kami tidak tahu berapa banyak pemain yang layak bertanding dalam kejohanan ini kerana BWF perlu mengesahkan sama ada pemain itu layak bermain atau tidak berdasarkan kedudukan terkini ranking dunia mereka," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Sementara itu, Choong Hann yakin terdapat beberapa pemain kebangsaan layak untuk beraksi dalam kejohanan terakhir musim ini iaitu Final Jelajah Dunia BWF 2020 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$1.5 juta (RM6.092 juta).

Kejohanan itu dijadual di Bangkok bermula 27 hingga 31 Januari depan.

Hanya lapan pemain terbaik dalam semua lima kategori pada carta kedudukan 'Road to Bangkok' layak untuk bertanding dalam kejohanan itu.

"Saya rasa kita mempunyai peluang untuk layak dalam acara perseorangan dan beregu lelaki serta beregu campuran berdasarkan prestasi terkini mereka," tambah Choong Hann.

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 5:19pm
d