Badminton

Sindhu padam kekecewaan minggu lalu

Oleh AFP

Bangkok: Perseorangan wanita India, PV Sindhu mara ke pusingan kedua Toyota Terbuka Thailand selepas berjaya melupakan kekalahan mengejut di awal pusingan minggu lalu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, berada di kelas tersendiri ketika mengetepikan wakil tuan rumah, Busanan Ongbamrungphan 21-17, 21-13 dalam tempoh 42 minit di Bangkok.

"Ia permainan yang baik dan saya sangat gembira. Kemenangan ini sangat penting buat saya di kejohanan ini kerana aksi minggu lalu saya tersingkir di pusingan pertama.

"Jadi kemenangan ini sangat penting walaupun di perlawanan pertama ia tetap sengit, saya tidak boleh pandang ringan," kata pilihan keenam itu.

Sindhu tumpas kepada wakil Denmark, Mia Blichfeldt pada saingan Yonex Terbuka Thailand minggu lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal kalah di pusingan pertama kepada pemain ranking kelima, Ratchanok Intanon selepas dilihat kurang bermaya di set kedua sebelum kalah 17-21, 8-21.

Pilihan utama, Tai Tzu Ying dari Taiwan kembali bangkit selepas kalah kepada wakil Sepanyol, Carolina Marin di final minggu lalu apabila mengalahkan seorang lagi wakil tuan rumah, Supanida Katethong 21-16, 21-11.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 10:10pm
d