Badminton

Pang Ron, Yee See lakar kejutan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Keputusan paling membanggakan pada aksi suku akhir Toyota Terbuka Thailand hadir menerusi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang melakarkan kejutan menewaskan pilihan keenam kejohanan dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

Biarpun beraksi tiga set, namun kebangkitan dan semangat juang yang dipamerkan beregu negara itu harus dipuji apabila membuktikan sikap tidak berputus asa untuk terus berjuang.

Langsung tidak diletakkan sebarang harapan, Pang Ron-Yee See yang berada di ranking ke-35 dunia memerlukan satu jam lapan minit untuk menang ke atas beregu Indonesia yang kini menduduki ranking kelapan dunia dengan keputusan 12-21, 21-19, 21-19.

Bagi Pang Ron, tiada resepi rahsia kemenangan mereka hari ini, cuma dia bersama Yee See sentiasa positif dan memberi semangat antara satu sama lain.

"Selepas set pertama, kami teruskan perjuangan. Tiada rahsia kebangkitan kami. Masing-masing memberi motivasi dan kekal positif untuk cuba memberikan tentangan.

"Kami mahukan yang terbaik dan mahu terus memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Pang Ron.

Bagi Yee See, dia mengharapkan perjuangan akan diteruskan esok dan bertekad untuk melakukan yang lebih baik daripada apa yang dipamerkan hari ini.

Kemenangan beregu campuran negara itu menyaksikan Malaysia kini sekurang-kurangnya mempunyai tiga wakil di pentas separuh akhir.

Dalam aksi beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menewaskan Pearly Tan-M Tinaah, 22-20,21-12.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 7:04pm
d