Badminton

Aaron Chia-Wooi Yik mula langkah kanan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula langkah kanan dalam saingan awal kumpulan B Jelajah Dunia Akhir HSBC Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila menewaskan pasangan dari Korea.

Muncul naik juara di Toyota Terbuka Thailand minggu lalu, Aaron-Wooi Yik melakarkan kemenangan 21-14, 21-19 untuk menewaskan Choi Solgyu-Seo Seung Jae.

Ia dilihat satu permulaan yang baik untuk mereka meneruskan kemaraan di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.06 juta) itu.

Menurut Aaron, mereka bermula dengan baik apabila menang perlawanan pertama itu dan dia bersama Wooi Yik cukup berpuas hati apabila hanya memerlukan masa 38 minit untuk menang.

Menanti pasangan negara pada aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan adalah beregu dari Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov yang sebelum itu tewas kepada pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 18-21,21- 15,17-21.

Mengulas mengenai strategi yang akan digunakan, Aaron berkata, semuanya terpulang kepada percaturan jurulatih, Flandy Limpele dan berharap mereka dapat meneruskan rentak kemenangan.

Sementara itu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang beraksi dalam kumpulan A tewas kepada pilihan pertama dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, 18-21, 22-24.

Manakala beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menang ke atas Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, 21-16 10-21 21-15.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 5:52pm
d