Badminton

Wakil negara terkulai di separuh akhir

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Perjuangan beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai terhenti di separuh akhir apabila tewas kepada wakil Korea Selatan di Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand.

Berjuang di atas gelanggang di Impact Arena selama 49 minit, Mei Kuan-Meng Yean nyata gagal menandingi rentak beregu keempat dunia Lee So Hee-Shin Seung Chan apabila tunduk 14-21, 15-21.

"Kami tidak bermain dengan baik hari ini. Kami melakukan banyak kesilapan mudah. Lawan pula bermain dengan sangat baik dan terus memberikan tekanan kepada kami.

"Pertahanan kami juga tidak bagus. Apabila kami menyerang mereka melakukan serangan balas dengan pantas, jadi sukar untuk kami memberi mereka tekanan," kata Mei Kuan.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon kalah kepada Seo Seung Jae-Chae Yujung 19-21, 8-21 sebentar tadi.

Dalam saingan perseorangan lelaki, perlawanan akhir esok bakal menemukan dua wakil Denmark apabila Anders Antonsen menjinakkan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei

21-18, 14-21, 21-16, manakala Viktor Axelsen menjinakkan Chou Tien Chen (Taiwan)

21-16, 21-9.

Carolina Marin dari Sepanyol berjaya mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Pornpawee Chochuwong 21-13, 21-13 untuk berdepan Tai Tzu Ying (Taiwan) yang sebelum itu mengalahkan pemain muda Korea Selatan, An Se Young

21-18, 21-12.

Disiarkan pada: January 30, 2021 @ 11:32pm
d