Badminton

Antonsen, Tzu Ying juara Jelajah Dunia Akhir

Oleh AFP

Bangkok: Pemain nombor satu dunia Tai Tzu Ying menjuarai acara perseorangan wanita dalam perlawanan akhir penuh dramatik di Jelajah Dunia Akhir di Bangkok selepas mengetepikan penyandang juara Olimpik, Carolina Marin.

Selain Tzu Ying yang menghalang Marin daripada melakar kejuaraan hatrik di Bangkok, Anders Antonsen juga melakukan perkara sama menghalang rakan senegaranya, Viktor Axelsen untuk meraih kejuaraan ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga minggu.

Marin sebelum ini mengalahkan pemain Taiwan berusia 26 tahun itu dalam tempoh dua minggu berturut-turut pada aksi akhir Yonex Terbuka Thailand dan Toyota Terbuka Thailand.

Bagaimanapun, pemain Sepanyol itu bermula agak goyah sehingga membolehkan Tzu Ying menggunakan kesempatan berkenaan namun Marin berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan 21-14 di set pertama.

Pada set kedua Tzu Ying mendominasi awal dan mengawal rentak sebelum mencatat kemenangan 21-8.

Set penentuan pula dihidangkan dengan permainan pantas dan permainan rali, namun dua pukulan rendah pada hujung saingan membolehkan Tzu Ying mengesahkan kejuaraan selepas menang 21-19.

"Sebelum perlawanan saya sentiasa bertekad untuk bermain dengan penuh sabar. Dalam perlawanan sebelum ini, kesemua kesilapan terhasil disebabkan saya kurang sabar," kata Tzu Ying.

Axelsen yang menduduki ranking keempat dunia, tidak berjaya mengawal kegugupannya selepas kalah set pertama 16-21.

Dia berjaya bangkit dengan memenangi set kedua 21-5, namun pada set penentuan Antonsen berjaya mencatat kemenangan 21-17 untuk mengesahkan kejuaraan.

Dalam aksi beregu lelaki, gandingan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin berjaya melakar hatrik di Bangkok selepas menumpaskan wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-17, 23-21.

Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan berjaya mengalahkan rakan senegara, Kim So Yeong-Kong Hee Yong 15-21, 26-24, 21-19 untuk meraih gelaran juara beregu wanita.

Dalam aksi beregu campuran, wakil tunggal tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai berjaya mengalahkan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung 21-18, 8-21, 21-8

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 9:06pm
d