Badminton

Prestasi Aaron-Wooi Yik tak konsisten

Oleh Ferzafie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas melihat sendiri aksi anak buahnya di gelanggang, ketua jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele sudah mendapat gambaran bagaimana untuk memantapkan lagi permainan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Beliau berkata, sekarang ini masih memerlukan masa bagi membuat penilaian yang lebih menyeluruh terhadap gandingan nombor satu negara itu.

"Tiga kejohanan yang berlangsung di Bangkok, Thailand sepanjang bulan lalu memberi gambaran awal terhadap apa yang perlu dilakukan terhadap mereka," kata pengendali kelahiran Indonesia itu.

Pasangan nombor sembilan dunia itu tersingkir di pusingan pertama Yonex Terbuka Thailand sebelum bangkit untuk muncul naib juara pada Toyota Terbuka Thailand, namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada Jelajah Akhir Dunia BWF.

"Ini adalah kali pertama saya membawa mereka ke kejohanan antarabangsa dan ini kejohanan pertama mereka selepas sembilan bulan (tiada kejohanan akibat Covid-19). Jadi, saya tidak boleh menilai secara menyeluruh.

"Namun, sehingga kejohanan yang terakhir (Jelajah Dunia Akhir), saya melihat ada faktor bukan teknikal yang buat mereka gagal bermain pada tahap prestasi sebenar. Ada faktor mental dan kurang percaya kepada diri sendiri," katanya.

Jurulatih yang pernah berkelana ke India itu berkata, prestasi Aaron-Wooi Yik masih belum stabil, mungkin kerana lambat untuk menyesuaikan diri selepas lama tidak beraksi dalam kejohanan.

"Saya boleh membuat penilaian yang lebih lagi apabila Aaron-Wooi Yik menyertai kejohanan di Eropah pada Mac depan yang mana mereka akan beraksi dalam saingan Terbuka Switzerland, Terbuka Jerman dan Seluruh England.

"Saya yakin mereka boleh bermain dengan lebih baik lagi dan melangkah lebih jauh. Namun, mereka perlu percaya kepada diri sendiri, mental kena kuat dan bekerja keras bagi memperbaiki kelemahan," katanya yang memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Julai tahun lalu.

Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 7:19pm
d