Badminton

Kisona idam lakar sejarah di Birmingham

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara S Kisona bertekad untuk melakarkan sesuatu pada penampilan pertamanya di pentas kejohanan Seluruh England yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Mac ini.

Ia adalah tempat terbaik buat dia memperbaiki prestasi selepas beraksi di dua Terbuka Thailand.

Mengakui banyak perkara perlu diperbaiki, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 Filipina itu bagaimanapun sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

Namun dia sedar menantinya pada pusingan pertama bukan satu lawan yang mudah apabila dia diundi menentang pilihan kelapan dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan.

"Saya pernah kalah beberapa kali dengan dia dan saya memang tahu pemain Thailand itu kuat tapi itu bukan halangan.

"Saya akan buat yang terbaik dan tempoh masa yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk mempertingkatkan lagi prestasi dan memperbaiki segala kelemahan.

"Jika boleh sasaran saya adalah mara hingga ke suku akhir tapi pada masa yang sama mahu pergi lebih jauh lagi. Ini kerana kejohanan Seluruh England ini adalah tempat terbaik saya membuktikan kemampuan saya mengejar dan menimba pengalaman berharga," katanya.

Bagaimanapun Kisona sedar laluan yang akan ditempuhinya bukan mudah tapi pemain berusia 23 tahun dari Negeri Sembilan itu tidak berputus asa mengejar lebih banyak kejayaan selepas ini.

Selain Kisona turut beraksi di kejohanan itu adalah Soniia Cheah.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 10:16pm
d