Badminton

Pengajaran berguna buat Kisona

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Tewas mudah 6-21, 7-21 di tangan pilihan kelapan dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan pada pusingan pertama Seluruh England hari ini nyata memberi pengalaman cukup bermakna kepada pemain perseorangan wanita negara, S Kisona.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu mengakui masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan barisan pemain utama dunia termasuk Busanan.

"Ia akan menjadi pengalaman yang berguna untuk saya. Saya tahu apa kelemahan saya dan akan bekerja keras untuk memperbaikinya.

"Saya mahu pastikan mampu bermain lebih baik pada saingan Seluruh England tahun depan," katanya yang ketika ini menduduki ranking ke-62 dunia.

Pada perlawanan itu, Kisona mengakui Busanan berjaya menguasai keseluruhan permainan sehingga menyebabkannya buntu untuk mengatasi lawannya itu.

"Saya tidak boleh mengikut kepantasannya dan ia membuatkan sukar untuk saya mendapatkan mata," kata pemain berusia 23 tahun itu.

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Soniia Cheah yang kini bergerak secara profesional turut gagal melepasi pusingan kedua selepas tewas kepada juara dunia 2019 dari India, P V Sindhu 11-21, 17-21.

Kegagalan kedua-dua pemain itu sekali gus menyaksikan perjuangan untuk acara perseorangan wanita negara di saingan berprestij itu sudah berakhir.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 11:39pm
d