Badminton

BAM terima Anugerah Menteri Luar Jepun

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jepun menghargai peranan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan pemain Jepun di arena antarabangsa.

Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi menyampaikan Anugerah Kepujian Menteri Luar Jepun untuk tahun 2020 kepada Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini.

Hiroshi berkata kisah kejayaan BAM diketahui ramai dan ini mendorong kem Jepun untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih berbakat dari Malaysia seperti Jeremy Gan (beregu campuran), Tan Kim Her (beregu lelaki) dan Lee Wan Wah (beregu campuran) selama bertahun-tahun.

"Jurulatih-jurulatih Malaysia ini telah banyak menyumbang kepada prestasi keseluruhan pemain badminton Jepun di persada antarabangsa yang kami amat terhutang budi kepada mereka.

''Di sini, saya ingin mengucapkan takziah. Satu kehilangan besar, Izuan Ibrahim yang meninggal dunia pada Dis 2019. Sebagai jurulatih belia dan bekas pemain, beliau benar-benar memberi inspirasi kepada banyak pemain muda, Kento Momota adalah seorang daripada mereka," kata beliau dalam ucapannya hari ini.

Anugerah itu dikurniakan setiap tahun oleh Menteri Luar Jepun kepada individu dan kumpulan yang melakukan sumbangan besar untuk mengeratkan persahabatan dengan Jepun.

Hiroshi juga berkata Mohamad Norza dan Gabenor Wilayah Ehime Tokohiro Nakamura telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 2018 untuk mempromosi banyak lagi pertukaran menerusi badminton.

Beliau berkata tiga kem latihan di Ehime melibatkan latihan pemain-pemain dari kedua-dua negara antara 2018 dan 2019 sebagai sebahagian daripada persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Beliau juga menggunakan peluang itu untuk mengucapkan tahniah kepada juara perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang merangkul gelaran juara All England selepas menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark.

Dalam final di Arena Utilita juga menyaksikan pemain Jepun memenangi empat gelaran juara -- beregu lelaki (Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe), beregu wanita (Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara), perseorangan wanita (Nozomi Okuhara) dan beregu campuran (Yuta Watanabe-Arisa Higashino).

Sementara itu, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan anugerah diterima BAM itu merupakan pengiktirafan besar buat pihaknya dan juga arena badminton negara.

"Pemain kita seperti Datuk Misbun Sidek sangat dikenali di sekolah di Ehime dan mereka sangat menyanjungi pencapaian kita yang seterusnya menjadi pencetus kepada pemain Jepun untuk beraksi sangat baik pada hari ini," katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 8:06pm
d