Badminton

Fokus setiap pukulan kunci kemenangan Liek Hou

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Lima bulan sebelum temasya Paralimpik Tokyo bermula, pemain perseorangan lelaki para negara, Cheah Liek Hou membuktikan kemampuannya apabila muncul juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, semalam.

Paling membanggakan, dia yang kini menghuni ranking kedua dunia menewaskan seteru utamanya, iaitu pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 14-21, 22-20, 21-18 di final yang berlangsung di Kelab Shabab Al-Ahli Dubai.

Liek Hou kini sebelah kaki ke temasya itu akan beraksi dalam kategori SU5 (kecacatan bahagian atas tubuh badan) berkata, kemenangan itu memberi inspirasi buatnya terutama selepas setahun tidak beraksi dalam saingan kompetitif akibat pandemik Covid-19.

"Saya gembira dengan kemenangan ini. Kunci kemenangan saya adalah bersabar dan fokus pada setiap pukulan.

"Saya harap dapat meneruskan momentum ini untuk kejohanan seterusnya selepas ini," katanya.

Mengulas mengenai perancangannya, Liek Hou berkata, dia dijadualkan beraksi di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol yang dijadualkan bermula dari 10 hingga 16 Mei ini.

Bagaimanapun masih belum ada sebarang makluman sama ada ia akan dianjurkan atau sebaliknya namun Liek Hou berharap ia tidak akan dibatalkan kerana kejohanan itu adalah penting bagi dirinya yang membuat persiapan ke Paralimpik Tokyo.

Selain Liek Hou, skuad badminton negara turut meraih dua lagi gelaran juara dalam kategori WH1 (kerusi roda) menerusi Muhammad Ikhwan Ramli dan Noor Azwan Noorlan dalam kategori WH2 (kerusi roda).

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 7:14pm
d