Badminton

Enam pemain badminton negara positif Covid-19

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan enam pemain mereka disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian.

Menurut badan induk sukan berkenaan melalui satu kenyataan kesemua pemain berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom dan sekarang ini sedang menjalani kuarantin serta pemantauan.

"Ketika ini, kesemua enam pemain berkenaan melakukan pengasingan kendiri mengikut protokol kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," kata BAM.

Selepas mengadakan perbincangan dengan KKM, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), kesemua 91 pemain, jurulatih dan pegawai yang berpangkalan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara terus melakukan ujian Covid-19 dengan kadar segera.

Hasil daripada ujian berkenaan kesemua 91 individu berkenaan memperoleh keputusan negatif dan dalam masa sama ABM juga sudah melakukan proses sanitasi.

"Latihan dalam kuarantin yang sebelum ini dilakukan di ABM terpaksa diperkenalkan semula, manakala aktiviti persekolahan pula akan dijalankan secara dalam talian untuk tempoh beberapa hari.

"Kesihatan dan keselamatan semua orang di ABM menjadi keutamaan utama pihak kami," kata badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, BAM tidak mendedahkan identiti keenam-enam pemain berkenaan dan difahamkan ia tidak membabitkan mereka yang sudah mengambil vaksin dos pertama Selasa lalu.

BAM juga mengharapkan keenam-enam pemain berkenaan kembali sembuh dengan kadar segera dan dapat meneruskan latihan seperti biasa.

Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 5:20pm
d