Badminton

BAM larang pemain keluar ABM

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Langkah drastik dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila melarang mana-mana pemain keluar dari Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sehingga 30 April ini selepas enam pemain disahkan positif Covid-19.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu akan kembali mengadakan latihan secara kuarantin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

"Sesi latihan ketika ini diberhentikan buat sementara waktu sehingga penilaian semula dilakukan. Semua pemain yang mempunyai kontak rapat dengan pemain yang positif juga sudah diasingkan.

"Skuad remaja pula tidak akan menjalani latihan sehingga Rabu ini. Mereka juga akan mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian. Pemain dan kakitangan BAM akan diasingkan," katanya.

Semalam BAM menerusi satu kenyataan mengesahkan enam pemain mereka disahkan positif Covid-19.

Menurut badan induk itu kesemua pemain berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom dan ketika ini sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Bagaimanapun, BAM tidak mendedahkan identiti keenam-enam pemain berkenaan dan difahamkan ia tidak membabitkan mereka yang sudah mengambil vaksin dos pertama Selasa lalu.

Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 9:02pm
d