Badminton

Bimbang PKP jejas latihan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemain badminton beregu campuran negara, Goh Liu Ying mengakui dia sukar memberi fokus sepenuhnya kepada latihan berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Lebih membimbangkan sekiranya kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi, dia bersama pasangannya beregunya, Chan Peng Soon mungkin akan berdepan kesukaran untuk terus menjalani latihan apabila gimnasium dan gelanggang ditutup. "Setakat ini latihan saya dan Peng Soon berjalan lancar tapi ada sedikit bimbang kerana keadaan sekeliling banyak kes positif (Covid-19).

"Kami perlu berwaspada dan sangat berhati-hati jadi tak boleh nak fokus sangat. Lagi pula jika kerajaan umumkan PKP, mungkin latihan kami akan terganggu kerana gelanggang dan gimnasium akan ditutup sekurang-kurangnya dua minggu," katanya.

Justeru pemenang pingat perak Olimpik Rio itu berharap, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dapat mempertimbangkan mengenai sesi latihan mereka sekiranya PKP 3.0 dilaksanakan.

"Sekarang ini Olimpik sudah dekat. Ada lagi dua kejohanan utama iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura. Kami tak boleh berhenti berlatih. Malah ABM (Akademi Badminton Malaysia) juga ada kes Covid-19.

"Jadi jika PKP dilaksanakan, saya sangatlah berharap agar kerajaan dapat membantu kami. Sekurang-kurangnya membenarkan kami menggunakan satu gelanggang latihan," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 10:27pm
d