Badminton

Soniia masih belum buat keputusan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita profesional negara, Soniia Cheah menyambut baik jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjalani latihan berpusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), bermula hujung bulan ini.

Bagaimanapun, Soniia yang akan beraksi di temasya Olimpik Tokyo itu masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menerima jemputan berkenaan atau sebaliknya.

Ini kerana syarat yang ditetapkan oleh BAM dengan menggunakan pendekatan gelembung sukan itu perlu difikirkan dengan sewajarnya.

Kata Soniia, sekiranya dia menerima jemputan berkenaan bermakna dia tidak dibenarkan keluar daripada ABM sehingga temasya Olimpik.

"Syarat yang ditetapkan kepada saya adalah sepanjang tempoh PKP hingga Olimpik saya tidak dibenarkan keluar dari ABM jika memilih menjalani latihan bersama.

"Tapi saya akan bincang dulu dengan jurulatih sebelum membuat keputusan," katanya.

Selain daripada Soniia turut mendapat jemputan untuk menjalani latihan di ABM adalah beregu campuran negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kini skuad badminton negara hanya perlu memberi fokus kepada latihan berikutan dua kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Tokyo - Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura sudah pun dibatalkan akibat Covid-19.

Untuk rekod Soniia kini berada di kedudukan ke-19 'Race To Tokyo' manakala Peng Soon-Liu Ying berkedudukan tempat ketujuh.

Disiarkan pada: May 18, 2021 @ 9:58pm
d