Badminton

Soniia sertai kem latihan hujung bulan ini

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kem badminton negara akan lengkap dengan kehadiran perseorangan wanita profesional Soniia Cheah yang akan bersama-sama pasukan negara melakukan persiapan ke temasya Olimpik Tokyo Julai ini.

Soniia bagaimanapun hanya akan menyertai kem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hujung bulan ini kerana beberapa kekangan yang perlu dia selesaikan.

Dia yang menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan wanita berkata, sebelum ini tidak dapat membuat keputusan sama ada ingin bersama kem negara atau tidak kerana mempunyai tanggungjawab di luar sebagai pemain profesional.

Namun kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keputusan untuk bersama skuad negara perlu dilakukan bagi memastikan dia berada di tahap terbaik ketika Olimpik nanti.

"Sebelum ini memang saya belum buat keputusan kerana memikirkan kerana kuarantin di ABM sebab saya ada banyak tanggungjawab lain termasuk memenuhi keperluan pihak penaja.

"Tapi selepas berfikir, saya putuskan untuk sertai kem latihan sama ada hujung bulan ini atau awal Julai nanti," katanya.

BAM sebelum ini memaklumkan memanggil kesemua pemain profesional negara untuk bersama-sama berada di ABM menjalani latihan. Ia susulan situasi PKP 3.0 yang mana gelanggang badminton serta gimnasium ditutup sepanjang perintah 'total lockdown' yang mula diperkenalkan kerajaan bermula 1 Jun lalu.

Soniia sebelum ini digugurkan daripada skuad kebangsaan menjadi satu-satunya perseorangan wanita negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan kepada kedudukan ranking.

Selain Soniia, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga sudah menyertai kem latihan di ABM yang menggunakan konsep gelembung sukan bagi mengekang penularan Covid-19.

BAM turut memanggil Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk menjadi rakan sepelatih Peng Soon-Liu Ying selain Liew Daren yang akan membantu persiapan Lee Zii Jia ke Sukan Olimpik Tokyo.

Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 11:52pm
d