Badminton

Peng Soon-Liu Ying nekad tebus kekecewaan di Rio

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying merasakan diri mereka tidak begitu tertekan untuk bersaing pada temasya Sukan Olimpik Tokyo bulan ini berbanding semasa menghadapi Olimpik Rio 2016.

Peng Soon, 33, berkata pengajaran yang diperoleh mereka pada Rio 2016 adalah tidak ternilai dan mengajar mereka untuk menangani tekanan dengan jauh lebih baik di Sukan Olimpik Tokyo, sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke gelanggang di Musashino Forest Sports Plaza.

Ganding profesional itu merangkul pingat perak di Rio 2016 selepas tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir pada final.

Kini Peng Soon tidak sabar untuk menebus kekecewaan pada final di Brazil itu dan cuba bangkit semula untuk merangkul pingat emas di Tokyo kali ini.

"Saya mahu berjuang untuk pingat emas tetapi sudah tentu kami tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada diri sendiri kerana kami perlu menyahut cabaran itu demi satu persatu," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, Liu Ying, 32, menolak sebarang kemungkinan bahawa ini akan menjadi temasya Olimpik terakhir mereka tetapi sebaliknya menyertai temasya itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai masa depan mereka dalam acara sukan terbesar dunia itu.

Selain pasangan Peng Soon-Liu Ying dan gandingan Aaron-Wooi Yik, empat lagi pemain ke Olimpik Tokyo adalah terdiri daripada perseorangan lelaki Lee Zii Jia, perseorangan wanita Soniia Cheah dan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Temasya Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 10:32pm
d