Badminton

Bukan mudah untuk ke Olimpik - Soniia

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Perjalanan perseorangan wanita negara, Soniia Cheah untuk berada di temasya Olimpik Tokyo, tidak mudah.

Banyak yang perlu ditempuhinya termasuklah kejutan digugurkan daripada skuad kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bukan setakat itu saja, dia pernah berdepan dengan ujian kecederaan serius sehingga memaksanya untuk berehat lama dan terpaksa menggunakan kerusi roda dalam tempoh rawatan itu.

Namun kini, Soniia berdiri di pentas Olimpik sebagai wakil dalam perseorangan wanita negara dan berharap keputusan yang cemerlang berjaya diraihnya untuk karier dan masa depan yang lebih stabil.

"Saya gembira kerana keluarga sentiasa menyokong dan sangat memahami apa yang saya inginkan dalam mengejar impian. Ia cukup bermakna dalam kehidupan saya.

"Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya lakukan ini. Biarpun lapan tahun lalu, saya hampir melupakan badminton kerana kecederaan tendon achilles yang serius tapi saya tetap meneruskan perjuangan seperti biasa.

"Jika ditanya atau diundurkan masa, saya tetap dengan keputusan memilih badminton sebagai kerjaya saya," katanya.

Soniia, 28, akan memulakan aksi perlawanan pertama Kumpulan N menentang Hungary, Laura Sarosi.

Dia kemudiannya akan turun bekas juara dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon yang sebelum ini sudah pun melakarkan kemenangan ke atas Laura Sarosi.

Hanya juara akan mara ke peringkat kalah mati

Disiarkan pada: July 26, 2021 @ 6:56pm
d