Badminton

'Naik gila tengok Aaron main'

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: "Akhirnya pengorbanan dia terbalas. 'Naik gila' kami sekeluarga dibuatnya semalam ketika menonton dia beraksi sebelum menang.

"Memang berdebar kerana perlawanan begitu sengit dan kami bangga melihat persembahan mereka berdua," itu kata Chia Boon Foo bapa kepada pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia.

Aaron dan pasangannya Soh Wooi Yik semalam menjadi penyumbang pingat pertama negara di Olimpik Tokyo 2020 apabila memenangi pingat gangsa selepas mengalahkan beregu Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Chia, 62, berkata, sebagai keluarga sudah pasti dia amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan anak dan rakannya yang berjuang sehabis daya sehingga berjaya mengalahkan beregu lawan.

"Perlawanan semalam jelas menunjukkan karakter Aaron iaitu seorang yang tekad dan tegas, walaupun ditentang lawan mereka tidak mudah mengalah malah terus bersemangat.

"Kejayaan ini sudah pastinya bermakna buat kita semua kerana bukan sahaja mengharumkan nama negara malah menyatu padukan rakyat Malaysia kerana semua memberi sokongan," katanya ketika sesi temubual bersama media melalui aplikasi zoom yang dihoskan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Menurutnya, dia mula menyedari bakat dan minat Aaron ketika anak keduanya itu masih kanak-kanak sebelum mewakili negeri untuk kejohanan badminton ketika berusia 11 tahun.

"Ketika kecil dia selalu ikut saya bermain badminton di gelanggang bersama rakan dan dari situ saya mula nampak minat dan bakatnya.

"Ketika berusia 11/12 tahun dia menjadi permain badminton negeri sebelum bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika berusia 14 tahun dan menyertai pelbagai kejohanan," katanya.

Chia berkata, sebagai seorang atlet negara bukan hanya Aaron yang berkorban malah dia dan keluarga juga terpaksa berkorban memandangkan anaknya itu perlu memberi sepenuh perhatian untuk latihan.

"Selain meluangkan masa bersama kami dia juga perlu bersama anak serta isterinya, jadi apabila dia pulang ke Melaka memang tidak lama kerana harus bergegas balik ke sana untuk jalani latihan.

"Tempoh pandemik ini agak mencabar malah kali terakhir kami berjumpa ketika sambutan Tahun Baru Cina dan selepas itu hanya berhubung melalui telefon sahaja," katanya.

Sementara itu, ibu Aaron Chan Mee Kee, 62, berkata, anaknya itu semalam ada menghubunginya namun mereka tidak dapat berbual lama kerana Aaron seakan hilang kata-kata disebabkan terlalu gembira.

"Sudah menjadi kebiasaan dia akan menghubungi kami sebelum perlawanan bermula bagi mendapatkan sokongan," katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 6:59pm
d