Badminton

Piala Sudirman: Misi tumbangkan England

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Suka atau tidak, aksi sulung Malaysia dalam saingan Kumpulan D Piala Sudirman menentang England esok harus bermula dengan cemerlang terutama melalui acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu lelaki yang dikatakan menjadi lubuk untuk menyumbang mata buat skuad negara.

Berdasarkan barisan pemain negara, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan masing-masing berdasarkan kedudukan ranking dunia yang lebih tinggi berbanding pencabar mereka.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 dijangka berentap dengan pemain ranking ke-202 dunia, Johnnie Torjussen manakala Kisona yang kali pertama menggalas tugas selaku pemain perseorangan wanita utama, diramal bertemu Chloe Birch.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan dengan gandingan Ben Lane Sean Vendy.

Malaysia dijangka menurunkan beregu muda wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang diramal bertemu Chloe-Lauren Smith manakala Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menjadi pertaruhan dalam acara beregu campuran dan hampir pasti berdepan pasangan nombor tujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren.

Menurut Aaron, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk memulakan cabaran pada kempen Piala Sudirman kali ini dan menyifatkan pertemuan dengan England amat penting dengan kemenangan akan mencerahkan laluan ke suku akhir.

"Saya fikir peluang adalah seimbang untuk kedua-dua pasukan mencatat kemenangan. Namun, tidak dinafikan kita ada sedikit kelebihan berdasarkan prestasi semasa.

"Apa pun, kami perlu fokus dan buat persiapan terbaik untuk perlawanan pertama dengan England. Yang pasti, semua pemain berada pada tahap terbaik dan sedia untuk memulakan aksi," kata Aaron yang kini menghuni ranking nombor lapan dunia bersama Wooi Yik.

Selepas aksi bertemu England, Malaysia akan menentang Mesir pada Selasa depan sebelum mengakhiri saingan kumpulan bertemu Jepun dua hari berikutnya.

Format Piala Sudirman menetapkan hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Disiarkan pada: September 25, 2021 @ 7:50pm
d