Badminton

Pang Ron-Yee See bawa negara ke separuh akhir

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas puas melihat rakan sepasukan bertungkus-lumus di dalam gelanggang pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron mengakui keinginan tinggi untuk membuatkan Malaysia bangga menjadi kunci buatnya menghadiahkan mata kemenangan Malaysia bersama Cheah Yee See.

Mereka berdua muncul wira apabila menoktahkan perjalanan Indonesia sekali gus membawa Malaysia mara ke separuh akhir Piala Sudirman selepas kali terakhir pencapaian berkenaan diraih pada 2009 di Guangzhou.

Pang Ron-Yee See membantu skuad negara menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-2 selepas mengetepikan gandingan nombor empat dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16.

Pang Ron, 23, berkata mereka turun dalam perlawanan itu sebagai 'underdog' dan hanya mahu menampilkan prestasi terbaik.

"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, mereka (Praveen-Oktavianti) adalah pasangan yang kuat. Seperti yang kami katakan, kami adalah 'underdog'.

"Sebaik kami melangkah masuk ke gelanggang, misi kami adalah untuk berjuang habis-habisan dan berikan yang terbaik. Set pertama cukup sengit sehingga tamat permainan manakala set kedua kami sedikit hilang fokus.

"Namun, sokongan padu daripada rakan sepasukan di tempat duduk penonton membuatkan kami lebih bersemangat di set ketiga. Kami memang nak sangat menang dan membuatkan Malaysia berbangga dengan kami," kata Pang Ron yang menghuni ranking ke-27 dunia bersama Yee See.

Ini adalah kemenangan pertama skuad negara ke atas Indonesia dalam saingan Piala Sudirman selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini pada edisi 1999 dan 2011.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan membuat perhitungan menentang Jepun dalam perebutan tiket ke final pada jam 9 malam ini.

Jepun melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Taiwan 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah muncul juara Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009.

Disiarkan pada: October 2, 2021 @ 12:37pm
d