Badminton

Zii Jia mampu tumbangkan sesiapa sahaja

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Berjaya menumbangkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota dalam saingan separuh akhir Piala Sudirman awal pagi tadi menjadi bukti bahawa Lee Zii Jia boleh menumbangkan sesiapa saja.

Zii Jia berjaya menyumbangkan mata tunggal buat negara selepas mengetepikan Momota straight set 22-20, 21-19 ketika Malaysia kalah 1-3 kepada Jepun.

Kemenangan itu membolehkan pemain berusia 23 tahun itu yang menghuni ranking nombor lapan dunia menebus kekecewaannya selepas tewas di tangan bintang Jepun berkenaan ketika aksi peringkat kumpulan, Khamis lalu.

Ini adalah kali kedua dia berjaya mengatasi Momota selepas turut melakukannya ketika saingan Seluruh England, Mac lalu yang kemudiannya menyaksikan dia muncul juara kejohanan badminton tertua di dunia itu.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya, saya sangat teruja dan gembira. Hari ini saya menunjukkan permainan saya kepada peminat terutamanya peminat Malaysia yang saya adalah salah seorang pemain terbaik dan mampu menewaskan sesiapa saja.

"Memenangi perlawanan pertama adalah sangat penting. Anda perlu memiliki stamina yang tinggi untuk bersaing dengan Momota dalam perlawanan.

"Selepas perlawanan set pertama keyakinan saya meningkat dan saya cuba untuk menenangkan diri. Saya mampu mengatasi masalah hari ini dan saya gembira.

"Anda perlu bekerja keras, dia adalah seorang pemain yang memiliki pertahanan yang kuat, anda perlu bermain dengan pukulan yang berbeza. Ia perlawanan yang sukar," kata Zii Jia selepas tamat perlawanan pagi tadi.

Pemain kelahiran Kedah itu sekali lagi akan mengetuai cabaran Malaysia menjelang saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark yang akan bermula Sabtu ini.

Dia dijangka akan membuat perhitungan sekali lagi dengan Momota di Aarhus selepas skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada.

Disiarkan pada: October 3, 2021 @ 10:27pm
d