Badminton

Chong Wei layan kayuh basikal pula

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei sudah mula berjinak-jinak dengan hobi baharu iaitu berkayuh basikal.

Bekas pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia itu mendedahkan hobi baharunya sempena Hari Sukan Negara 2021 yang disambut di seluruh negara hari ini.

"Kongsi sikit apakah aktiviti sukan baharu anda sejak Covid-19? Saya pun ada hobi baru. Tapi masih noob, nak kayuh ikut belakang YB @khairykj (Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) lah, laluan kayuh beliau lagi selamat," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Menariknya, beliau memuat naik gambar bersama basikal lebuh raya jenama Yonex, jenama badminton yang seiring dengan perjalanan kariernya sejak 2000.

Ada juga peminat dan warganet yang mengusiknya mahu meminjam basikal itu yang dikatakan agak mahal dengan frame sahaja bernilai antara RM18,000 hingga RM25,000.

Warganet dari Indonesia turut terpegun dengan basikal jenama Yonex itu dan bertanyakan di mana boleh membelinya.

"Sejak Covid melanda, ramai yang terpaksa berkurung lama di rumah. Ada yang makin kurus, ada yang makin boroi.

"Tapi menariknya saya perasan makin ramai yang keluar berjoging sekarang berbanding dulu. Ia sememangnya satu petanda baik kerana dengan mengamalkan gaya hidup aktif, barulah sihat badan dan minda," tulisnya lagi.

"Hari ini Hari Sukan Negara 2021. Banyak aktiviti hibrid menarik sempena HSN 2021. Antaranya, Mega Aerobic Challenge, KBS Fit and Active, KBS Virtual Run, KBS Fitness Challenge, KBS Myfit@Home dan KBS Freestyle Challenge. Pergilah check it out!"

Chong Wei, 38, bersara dua tahun lalu selepas mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa termasuk memenangi tiga pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Disiarkan pada: October 9, 2021 @ 11:44am
d