Badminton

Rashid sedia turunkan ilmu pada pemain badminton para

Oleh Syazwan Msar

Putrajaya: Jurulatih badminton para kebangsaan, Datuk Rashid Sidek menjangkakan satu perbincangan mengenai lanjutan kontraknya bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) bakal diadakan pada bulan depan.

Rashid yang kontraknya bakal tamat pada penghujung tahun ini berkata, pada masa ini masih tiada perbincangan walaupun dirinya tetap bersedia meneruskan khidmat melatih anak didiknya.

"Pada masa sekarang masih belum ada perbincangan. Mungkin bulan depan akan jumpa pihak MSN untuk masa depan saya sama ada disambung ataupun tidak.

"Sekiranya khidmat diperlukan lagi dan mereka masih perlukan tenaga saya, saya akan terus berkhidmat untuk mereka," kata Rashid yang sebelum ini berjaya melatih Cheah Liek Hou untuk meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki (SU5) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan, Rashid tidak mempunyai halangan untuk melahirkan lebih ramai 'klon' Liek Hou yang mampu menggegarkan arena Paralimpik negara di masa depan.

Baginya, kejayaan Liek Hou meraih emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mampu menjadi inspirasi kepada pemain badminton para lain untuk lebih komited dan berusaha mempamerkan aksi terbaik di peringkat lebih tinggi.

Liek Hou mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas dalam acara perseorangan lelaki (SU5) di Paralimpik Tokyo 2020 dengan menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15.

Sementara itu, Liek Hou turut mengharapkan MSN akan melanjutkan kontrak Rashid dan juga dirinya bagi membolehkan mereka mencipta kejayaan pada edisi Paralimpik seterusnya di Paris 2024.

"Memang saya berharap MSN akan sambung kontrak jurulatih dan juga saya. Mungkin kita akan bincang dengan MSN (lanjut sehingga 2024) untuk ke Paris," katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2021 @ 5:28pm
d