Badminton

Pemain muda badminton negara perlu pendedahan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menggunakan sepenuhnya baki tiga tahun yang tinggal sebelum Olimpik Paris 2024 bermula dengan merangka pendedahan yang cukup buat pemain muda negara.

Langkah berani BAM untuk mengetengahkan barisan pemain muda terutama dalam saingan Piala Uber itu dilihat sebagai satu tindakan yang bijak dan permulaan yang baik buat mereka.

Bagaimanapun bagi bekas pemain beregu wanita kebangsaan, Woon Khe Wei, dia melihat wujudnya jurang yang besar di kalangan pemain negara terutama selepas ketiadaan pemain berpengalaman Pearly Tan dan Lee Meng Yean kerana cedera.

Tapi semua itu pasti dapat diatasi sekiranya lebih banyak pendedahan diberikan kepada pemain ini bagi mereka membiasakan diri.

"Dari segi pengalaman memang kita lihat banyak yang kurang. Jurang itu sangat besar tapi kalau mereka ini diberi lebih banyak pertandingan mungkin perkara itu dapat diatasi.

"Pemain muda ini perlu tingkatkan lagi prestasi dan apa yang ditunjukkan di Piala Uber kali ini tak boleh jadi kayu pengukur untuk ke Paris sebab mereka masih lagi takut untuk ke kejohanan besar," katanya.

Sementara itu, bekas jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Sairul Amar Ayob berharap BAM akan dapat merangka program latihan khas buat Siti Nurshuhaini Azman dan K Letshaana. Ini kerana kedua-dua mereka mampu menjadi pencabar dalam acara perseorangan wanita negara. Katanya, apa yang dapat dilihat ketika di Piala Uber, kedua-dua perseorangan wanita negara itu terlalu takut dan berhati-hati terutama apabila berdepan pemain handalan dunia.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 9:35pm
d