Badminton

Liu Ying serlah bakat lakonan

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Baru-baru ini bintang beregu campuran negara Goh Liu Ying pernah menggemparkan peminatnya apabila memuat naik status dia berlakon drama dengan aktor lelaki terkenal tempatan Remy Ishak di laman Instagram miliknya.

Selepas berdiam diri apabila tidak menjawab sebarang pertanyaan peminat dan warganet mengenai kesahihan cerita itu, semuanya terjawab hari ini menerusi status terbaharunya "Rumahku, syurgaku," betul kata pepatah Melayu ini. Rashid pun setuju! Memang benar kedua-dua personaliti yang cukup terkenal di negara ini berlakon bersama namun ia bukannya untuk produksi drama sebaliknya bagi iklan kondominium residensi Tuan 2Egacy di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Dalam iklan berdurasi tujuh minit 55 saat itu, Remy memegang watak Rashid, pekerja baharu di syarikat hartanah yang memulakan tugas hari pertama untuk memperkenalkan rumah contoh kepada pelanggan.

Sebaik tiba di rumah contoh itu, Rashid terserempak dengan Liu Ying yang memegang watak 'Miss Goh' yang sedang tidur di bilik utama. Rashid terkejut menyangka Miss Goh adalah hantu atau pocong.

Rashid yang menganggap Miss Goh sebagai bakal pembeli, kemudian memberikan penerangan secara terperinci sambil menunjukkan sekitar rumah contoh itu yang dibina dengan reka bentuk 'premium classic' ala kolonial British.

Di akhir cerita, bagaimanapun Rashid bertemu dengan seorang kakitangan wanita yang memperkenalkan 'Miss Goh' kepadanya sebagai pengurus besar syarikat itu. Jelas Rashid terkedu selepas mengetahui siapa sebenarnya Miss Goh.

Keberkesanan kedua-dua personaliti menjayakan iklan hartanah itu jelas menarik minat warganet yang berpendapat Liu Ying, yang memenangi pingat perak beregu campuran pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon, berbakat untuk menjadi pelakon suatu hari nanti.

Peminat @afrina_afrisley memberi komen: "Jangan terkejut kalau Goh Liu Ying boleh membuat penampilan sulung jadi pelakon selepas ini," manakala @su_hylah berkata: "Bila ada Goh Liu Ying, Remy tak laku dah."Warganet @fatinnurr_ pula mengutarakan komen: "Weee, aku ingat drama TV3 tadi, iklan rupanya," @i.azlan3395 pula menyatakan "bagus video Liu Ying. Baguslah lakonan u" manakala @gantungraketcom menulis: "Paling suka kalau GLY berbahasa Melayu... ada lucu-lucunya."

Liu Ying, 32, yang mengalami kecederaan ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, kini bertanding pada Terbuka Perancis di Paris selepas dia dan Peng Soon tewas pada pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense minggu lalu.

Disiarkan pada: October 28, 2021 @ 7:39pm
d