Badminton

Didik dan jaga Tze Yong - Roslin

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Didik dan jaga dengan baik pasti pemain muda negara Ng Tze Yong mampu untuk bergelar juara dunia satu hari nanti.

Itu pandangan yang dilontarkan oleh bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim yang menyifatkan Tze Yong mempunyai bakat luar besar berdasarkan corak permainan yang ditunjukkannya.

Permainan pemain dari Johor itu dilihat semakin matang dan ia dibuktikan rentetan perjalanannya tahun ini bermula di Piala Thomas di Aarhus, Denmark, bulan lalu apabila dia memberi tentangan sengit kepada pemain nombor tujuh dunia, Jonathan Christie sebelum tewas 21-14, 19-21, 16-21

Tze Yong kemudiannya cemerlang muncul naib juara Siri Antarabangsa Terbuka Czech sebelum muncul juara Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium, Sabtu lalu.

Keputusan positif itu menyaksikan kedudukan ranking dunianya melonjak ke tangga ke-68 berbanding ke-82 sebelum itu.

Roslin berkata, corak permainan Tze Yong lebih pelbagai jika dibandingkan dengan pemain nombor satu negara ketika ini, Lee Zii Jia.

"Saya yakin dengan kemampuan Tze Yong. Kalau dia dijaga dengan baik dan betul, dia boleh pergi jauh daripada Zii Jia," katanya.

Bagaimanapun adalah tidak wajar untuk meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada pemain berkenaan.

"Ketika ini biar dia ambil dulu pengalaman yang ada. Juara di Belgium dan naib juara di Czech itu satu permulaan yang baik untuk tingkatkan tahap keyakinannya.

"Apa yang penting itu adalah gelaran juara dan bagi dia juara kejohanan bertaraf cabaran antarabangsa itu penting," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2021 @ 5:22pm
d