Badminton

Aaron-Wooi Yik tekad raih banyak mata di Indonesia

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ada misi yang sangat penting buat pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia iaitu mara sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi membolehkan mereka meraih mata sebanyak mungkin untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF.

Berdasarkan kedudukan semasa, Aaron-Wooi Yik berada di ranking ke-14 kejohanan akhir musim itu, namun mereka yakin pintu untuk melayakkan diri masih belum tertutup. "Peluang masih ada tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Sudah pasti kami akan mempamerkan prestasi terbaik untuk menghasilkan keputusan positf di kedua-dua kejohanan itu.

"Kami perlu sekurang-kurangnya mara sehingga suku akhir tetapi sekiranya dapat mara lebih daripada itu adalah lebih baik," kata Aaron yang memenangi pingat gangsa bersama Wooi Yik di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai lalu.

Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia Akhir layak beraksi di kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.23 juta). Masters Indonesia akan bermula 16 hingga 21 November ini manakala Terbuka Indonesia berlangsung pada 23 hingga 28 November dengan kedua-dua kejohanan berlangsung di Bali.

Sebagai rekod, pasangan yang muncul naib juara Seluruh England 2019 itu sebelum ini dua kali berturut-turut layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir bermula edisi 2019 dan 2020.

Pada 2019 mereka terkandas di peringkat kumpulan dengan menduduki tempat ketiga, manakala tahun berikutnya di tangga keempat dengan kedua-dua edisi itu mereka mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan.

Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen Masters Indonesia menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy manakala di Terbuka Indonesia mereka dijadual bertemu Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman di pusingan pertama.

Disiarkan pada: November 11, 2021 @ 10:53pm
d